Follower members :
imanbg cover
Thursday, December 5, 2013
9 per 10 Rezeki adalah dalam Perniagaan..
Bila kita pandai memasak, orang kata kenapa tak buka kedai. Kalau kita pandai membaiki kenderaan, orang akan kata kenapa kita tak buka workshop.. Kita jawab, saya suka kerja dengan kerajaan (kerajaan tu bukan UMNO dan UMNO tu bukan kerajaan) mereka kata 9 per 10 rezeki, nabi kata datang dari perniagaan.
Dalam bergurau saya jawab, 9 per 10 juga dosa boleh datang daripada perniagaan. Yang bertanya tercenggang... mungkin tak ada hadis kata macam tu!! Saya faham daripada reaksi air mukanya, saya kata bila niaga kadang kala kita menipu, kita rasuah dll sebab itu 10% sahaja yang berniaga betul cara Rasulullah s.a.w.
Tapi hari ini saya bukan nak cakap pasal perniagaan, tapi pasal hadis berkenaan. Apakah statusnya. Saya tak mampu menulis sekadar saya ambil apa yang ditulis oleh orang yang mahir untuk kita sama-sama bahaskan.
Ustaz Mohd Khafidz Soroni (Jabatan Al Quran dan Al Sunnah & Institut Kajian hadis (INHAD) KUIS ada menulis.....
Terdapat sebuah hadis yang sering digunakan bagi menggalakkan masyarakat Islam menceburi bidang perniagaan. Hadis tersebut dicatatkan oleh Imam al Ghazali (w. 505H) di dalam kitabnya yang terkenal, Ihya' 'Ulumiddin. Beliau pula hanya menukilkannya daripada kitab Qut Al Qulub oleh Abu Talib al Makki (w. 386H). Hadisnya berbunyi :
عليكم بالتجارة فإن فيها تسعة اعشار الرزق
"Berniagalah kamu kerana sembilan persepuluh punca rezeki adalah dalam perniagaan"
Soalan : Dimanakah sumber asal hadis ini?
Jawapan :
Walaupun Tajuddin as Subki (w.771H) menyatakan beliau tidak menemukan sanad hadis ini, berdasarkan kajian dan rumusan ulama hadis, hadis yang semakna dengannya ditemui di dalam sumber-sumber berikut :
Gharib al Hadits oleh Abu 'Ubaid al Qasim bin Sallam (w.224H) (1/80)
Sunan Sai'd bin Mansur (w. 227H), sepertimana kata as Suyuti (w.911H) dalam al Jami' as Saghir (no 3296).
Musnad Musaddad (w.228H), sepertimana dalam Ithaf al Khayarah al Maharah oleh al Hafiz al Busiri (no 2730)
Islah al Mal oleh Ibnu Abi Ad DUnya (w. 281H) (no 202)
Gharib al Hadith oleh Ibrahim al Harbi (w.285H), sepertimana kata al 'Iraqi dalam Takhrij Ihya' 'Ulumiddin (2/79)
Kesemuanya meriwayatkan daripada jalur riwayat Nu'aim bin Abd ar Rahman secara mursal kecuali dalam sunan Sa'id bin Mansur terdapat satu riwayat sokongan daripada Yahya bin Jabir at Ta'i juga secara mursal. Bagaimanapun kesemuanya tidak meriwayatkan lafaz hadith di atas tadi, tetapi dengan lafaz berikut :
تسعة اعشار الرزق في التجارة
" Sembilan persepuluh punca rezeki adalah di dalam perniagaan"
Soalan : Bagaimana hukum hadis ini ?
Jawapan :
1. Menurut al Hafiz al 'Iraqi (w.806H) dalam takhrijnya terhadap kitab 'Ihya' Ulumiddin : "Para periwayatnya adalah tsiqah (dipercayai). Nu'aim bin Abd ar-Raman dikategorikan oleh Ibn Mandah termasuk daripada kalangan para Sahabat r.a, tetapi itu tidak benar. Menurut abu Hatim ar Razi dan Ibnu Hibban beliau adalah seorang tabi'i (sempat bertemu Sahabat dan tidak sempat bertemu Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam), maka hadith ini adalah mursal"
2. Al Hafiz al Busiri (w.840H) dalam Ithaf al Khayarah al Maharah menyatakan bahawa sanadnya dhaif kerana Nu'aim bin Abd ar Rahman adalah majhul iaitu dengan maksud hanya seorang perawi sahaja yang diketahui meriwayatkan hadith daripada beliau.
3. Kata Murtadha az Zabidi (w. 1205H) dalam Ithaf as Sadah al Muttaqin: "Ia turut diriwayatkan oleh Said bin Mansur dalam Sunannya daripada hadis riwayat Nu'aim bin Abd ar Rahman dan hadis riwayat Yahya bin Jabir at Ta'i secara mursal dengan tambahan akhir: "....dan satu persepuluh pula di dalam bidang penternakan." Dalam riwayat lain "...dan satu persepuluh pula dalam bidang penghasilan."
Nu'aim bin 'Abd ar Rahman adalah perawi maqbul (diterima) daripada peringkat kedua. Yahya bin Jabir at Ta'i pula adalah qadhi Hims (di Syria), seorang perawi saduq (benar), sepertimana dalam kitab al Kasyif. Namun, di dalam kitab at Taqrib disebut seorang yang tsiqah (dipercayai), tapi banyak memursalkan hadith."
4. Meskipun as Suyuti dalam al Jami' as Saghir menyatakan ia daripada Nu'aim bin Abd ar Rahman dan Yahnya bin Jabir at Ta'i secara mursal, beliau mengisyaratkan hukumnya sebagai hasan. Sedangkan hadis mursal adalah tergolong dalam kategori hadith dhaif kerana terputus sanadnya.
Kemungkinan beliau berpendapat, kedua-dua riwayat mampu saling menyokong dan meningkatkan martabatnya kepada darjat hasan, yakni hasan li-ghairih. Namun, riwayat-riwayat mereka tidak dapat ditemukan dalam kitab Sunan Sa'id bin Mansur yang dicetak pada hari ini kerana ia tidak lengkap disebabkan banyak bahagian yang sudah hilang.
Soalan : Adakah hadith tersebut tidak dapat diamalkan?
Jawapan :
Tidak tepat jika ada yang mengatakan ia hadis palsu kerana hadith tersebut sama ada dhaif atau hasan sepertimana menurut al Hafiz as Suyuti. Maka tidak salah jika ia diamalkan, terutama dalam bab motivasi.
Agama Islam memang menggalakkan perniagaan. Bahkan Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam sendiri pernah berniaga semasa mudanya dan para Sahabat juga ramai yang menceburi bidang ini (lihat misalnya, buku Fadhilat Tijarah oleh Maulana Syeikh Muhammad Zakariyya al Kandahlawi).
Alhamdulillah, ramai yang telah termotivasi dengan hadith tersebut sehingga berjaya dalam perniagaan mereka.
Maksudnya juga benar kerana banyak rezeki yang diperoleh dengan perniagaan dan ia mampu menjana kekuatan ekonomi umat Islam. Malah jika difikirkan, kebanyakan bidang pekerjaan seperti penternakan, pertanian, pertukangan dan sebagainya akan berakhir dengan urusan jual beli juga bagi mendapatkan hasil keuntuntan. Wallahua'lam.
Note:
Tulisan Ustaz Mohd Khafidz Soroni
Sumber : tranungkite
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.